Oleh: Ku Siti Aminah Ku Mat

Istilah ‘kesusasteraan’ atau ‘sastera’ merujuk pada karya-karya lisan dan tulisan yang membawa unsur-unsur cereka dan disampaikan melalui bahasa dan berbagai-bagai alatannya. Namun, menurut Muhammad Haji Salleh bahawa istilah ini adalah perkataan yang masih baru iaitu tidak lebih awal dari awal dari abad yang ke-20. Merujuk kepada Ensiklopedia Indonesia (1959), istilah ‘kesusasteraan’ atau ‘susastera’ dalam bahasa Sangsekerta membawa maksud “yang mahir sastera, atau  baiklah pengetahuannya tentang pustaka atau sastera meliputi segala surat, risalah tulisan, kitab, buku syair, sajak, hikayat atau cerita dan segala kekurangan yang pernah diciptakan dan dibukukan pada suatu masa dan yang menjadi kepunyaan sesuatu bangsa.”

Amat penting untuk kita melihat dari segi sejarah penggunaan istilah sastra, ia pernah digunakan untuk bidang pengetahuan yang berbeza dengan bidang kesenian. Dalam kamus Wilkinson (1903), maksud sastera pada hari ini tidak sama dengan maksud sastera pada akhir abad ke-19. Merujuk kepada Wilkinson, sastera membawa maksud “sacred books; (by extension, astrological tables, books of divination)”. Malah, dalam kamus L’ Sabbe P.Farre (1875), sastera bermaksud ilmu hitam dan manakala sasterawan diberi makna sebagai ahli sihir.

Didapati juga bahawa apabila istilah sastera ditambah imbuhan ke dan an sehingga terbentuk perkataan ‘kesusasteraan’, maka perubahan maksudnya turut terjadi. Kesusasteraan telah didefinisikan sebagai karya keseniaan yang diwujudkan dalam bahasa seperti gubahan-gubahan prosa dan puisi yang indah-indah dan ‘susastera’ pula bermaksud tulisan-tulisan indah. Walau bagaimanapun, sebelum perkataan ‘kesusasteraan’ dipakai, perkataan persuratan telah digunakan secara meluas untuk beberapa dekad. Bahkan, Za’ba amat terkenal akan penggunaan perkataan ‘persuratan’ yang merujuk kepada hikayat, syair, pantun, cerita-cerita dan penglipur lara. Perkataan pustaka turut pernah digunakan dalam hikayat-hikayat yang merujuk kepada sastera pada zaman dahulu.

Muhammad Haji Salleh (1995), menyebut dalam buku Penilitian Sastera: Metodologi dan Penerapan Teori, bahawa sastera berbahasa Melayu amat subur menjalar tanpa mengira sempadan dan waktu kerana ia bukan sahaja terkenal di Melaka, tetapi juga di Patani, Batawi, Minangkabau, Deli dan Riau. Misalnya, penyair tersohor yang berasal dari Riau iaitu Raja Ali Haji turut menulis syair sejarah Melayu yang bertajuk Syair Perang Johor dan Syair Lawatan Tengku Selangor ke Tanjung Pinang.

Menurut beliau lagi, “Teks-teks lama ini jugalah yang menjadi sumber konsep, pemeriaan dan pemikiran bangsa Melayu terhadap seni sastera.” Ia juga kaya dengan istilah-istilah sastera yang memberi pendedahan mengenai jenis-jenis puisi, jenis-jenis pengkisahan, peraturan penciptaan, dasar estetika atau petunjuk fungsi untuk karya sastera.

Karya sastera Eropah seperti daripada Dante, Shakespeare, Cervantes dan Chaucer juga mempunyai persamaan dengan konsep sastera di Tanah Melayu. Meskipun begitu, Dato’ Abdul Rahim bin Abu Bakar dalam ucapan perasmiannya ketika di Seminar Proses Kreatif Sasterawan Negara pada tahun 1990, menyarankan masyarakat khususnya golongan professional agar melibatkan diri secara aktif dalam mengangkat kesusasteraan nasional selain daripada mengkaji mengenai kesusasteraan barat.

Sastera tradisional Melayu seperti Hikayat Malim Deman, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Hang Tuah, Isma Yatim dan Siti Zubaidah  mengandungi banyak nilai masyarakat yang dapat ditekuni oleh para pembaca. Selain itu juga, nasihat kepada raja turut disampaikan dengan jelas dan tersusun dalam hikayat-hikayat tersebut. Melalui teks-teks lama seperti Hikayat Indera Bangsawan, masyarakat awam dapat mempelajari berkenaan adat istiadat di dalam istana. Sebagai contoh ialah seperti adat ketika di balairung istana dan cara bersantapan.

Nilai keagamaan yang diangkat melalui sastera Melayu juga tidak dapat disangkal. Penulisan puisi menjadi salah satu wadah untuk menerangkan berkenaan keindahan pengalaman kecintaan kepada Tuhan yang amat abstrak. Misalnya ialah dalam puisi Amir Hamzah dan Kemala. Karya-karya prosa seperti Tunggul-Tunggul Gerigis daripada Shahnon Ahmad pula bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan semata-mata, tetapi sebagai medium untuk menyampaikan ajaran mengenai pembentukan rohani dan akhlak yang baik. Nilai keagamaan turut dikenal pasti dalam syair Melayu Riau termasuklah Syair Hukum Faraid, Syair Kitab al-Nikah dan Syair Hukum Faraid daripada Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad.

Manakala dalam sastera tradisional, nilai tersebut dapat dipelajari daripada kisah yang diceritakan oleh Tuk Selampit dan Awang Batil. Ia membimbing masyarakat ke arah sifat kemanusiaan, pembentukan budi dan rasa cinta sesama insan yang seterusnya membawa kepada keharmonian dalam kehidupan. Nilai-nilai positif seperti inilah yang dianjurkan oleh agama Islam sehingga turut menguatkan hubungan manusia dengan Tuhan.

Menyentuh berkenaan novel pula, karya Syed Sheikh bin Ahmad al-Hadi iaitu Hikayat Setia Ashik Kepada Makshok-nya atau Faridah Hanum dianggap sebagai novel Melayu pertama yang diterbitkan pada 1925. Kolej Latihan Sultan Idris yang bertempat di Tanjong Malim, Perak telah dijadikan sebagai salah satu pusat pendidikan terawal untuk pelajar mempelajari dan menghasilkan karya novel pada 1930-an. Selain itu, Kolej Melayu Kuala Kangsar turut berjaya melahirkan penulis novel, Harun bin Mohd Amin atau lebih dikenali dengan nama penanya sebagai Harun Aminurrashid. Beliau mahsyur dengan novel Melur Kuala Lumpur yang menyentuh isu nasionalis pada tahun 1930.

Novel Melayu juga kaya dengan pengajaran yang dapat diteladani seperti daripada novel Kawan Benar oleh Ahmad bin Haji Muhammad Rashid Talu. Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, novel tersebut diterbitkan dalam tulisan Jawi setebal 177 halaman pada 1927 dan diterbitkan semula dalam bahasa Rumi pada tahun 1976 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel tersebut dikatakan sebagai antara novel terawal yang menceritakan kisah sebenar kehidupan orang Melayu dan ia berjaya memberi inspirasi kepada masyarakat untuk berubah menjadi lebih baik. Ia mengisahkan berkenaan kehidupan Abdul Bar yang telah terjerumus dalam kancah maksiat, namun sahabatnya Yaakob berjaya menarik kembali Abdul Bar ke jalan kebenaran.

Dicatatkan oleh David J. Banks (1987) dalam From Class to Culture: Social Conscience in Malay Novels Since Independence, selepas pasca peperangan pada 1950-an, novel bertemakan anti colonial yang mencetuskan semangat kemerdekaan telah tumbuh membiak bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sebagai contoh ialah novel Pahlawan Rimba Malaya (1946) oleh Keris Mas, Nyawa di Hujung Pedang (1946) karya Ahmad Murad Nasaruddin dan Balek Dari Medan Perjuangan (1958) hasil nukilan Syed Abdullah bin Abdul Hamid al-Edrus.

Begitu juga dengan karya Sejarah Melayu pada kurun ke-16 yang sarat dengan pengajaran seperti nilai kasih sayang, keadilan, perjuangan, pembinaan negeri dan sejarah bangsa Melayu. Dalam buku bertajuk Peranan Sasterawan dan Kesusasteraan: Dari Sudut Pandangan Pemimpin-Pemimpin dan Tokoh-Tokoh Pahang Darul Makmur, A. Karim Haji Abdullah (2000) telah mencatat bahawa Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussain pernah menyebut berkenaan sastera yang mempunyai peranan besar sebagai alat perhubungan dan ia telah bermula sejak sebelum zaman kemerdekaan.

Tuntasnya, menjadi suatu kemestian untuk masyarakat meneladani nilai-nilai murni dalam karya sastera dan menulusuri sejarah perkembangan sastera yang berubah mengikut peredaran zaman. Hal ini kerana, sastera tidak pernah berpisah dengan sifatnya yang sentiasa bergerak dan hidup berpaksikan keindahan, sama seperti bidang seni yang lain.

 

Sumber Rujukan

A.Karim Abdullah. (2000). Peranan Sasterawan dan Kesusasteraan: Dari Sudut Pandangan Pemimpin-Pemimpin dan Tokoh-Tokoh Pahang Darul Makmur. Pahang: Dewan Persuratan Melayu Pahang.

Ainon Abu Bakar (ed.). (1993). Telaah Sastera Melayu: Himpunan Kertas Kerja Minggu Sastera Malaysia di London. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Banks D. (1987). From Class to Culture: Social Conscience in Malay Novels Since Independence. Yale: Yale University Southeast Asia Studies.

Mohammad Daud Mohamad & Huszaidi Hussin. (2006). Rangkaian Pemikiran Dalam Karya Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

S.Jaafar Husin. (1995). Penelitian Sastera: Metodologi dan Penerapan Teori. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Siti Hawa Haji Salleh. (2009). Kelopak Pemikiran Sastera Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sahlan Mohd Saman. (1995). Sastera Bandingan Dari Perspektif Kita. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pusat Rujukan Persuratan Melayu. (2017). Kawan Benar. Retrieved on January 7, 2017 from http://prpm.dbp.gov.my

 

 

Advertisements